TODAK (TDK) meneruskan momentum positif mereka dengan rentetan kemenangan ketiga berturut-turut, terbaru menjadi mangsa mereka adalah King Empire Esports (KGE).

Biarpun KGE yang terlebih dahulu mengorak langkah kanan dengan mendapatkan tiga bunuhan pada awal permainan, namun TDK pantas bangkit untuk mendapatkan game pertama dengan jumlah 12 bunuhan.

Dengan kekuatan dan kelebihan 'level' hero dimiliki KGE, TDK berjaya melakukan strategi menakjubkan pada satu pertempuran.

Hero Roger yang dipakai Shizou, yang turut dinobat selaku MVP meraih 'triple kill', dan kemudian kesemua hero KGE ditumpaskan (wiped out) sekaligus memberikan ruang TDK mudah membolot game pertama selepas hanya 14 minit berlangsung.

Lain cerita di game kedua, tanpa menoleh ke belakang, TDK terus mengawal perlawanan sejak dari awal.

Shizou sekali lagi menjadi duri dalam daging buat KGE, dengan hero Roger buat kali kedua dia mendapatkan 'triple kill' dan menamatkan perlawanan dengan keputusan 2-0 untuk melonjakkan pasukan ke kedudukan kedua dalam carta liga.