Juara bertahan, Homebois meraih kemenangan keempat musim ini selepas menewaskan RSG Malaysia dengan keputusan 2-1.

Di game pertama, Chibi yang menggunakan hero Nolan, 'the Cosmic Wayfinder' memainkan watak penting dengan merekodkan enam bunuhan sekali gus dinobat selaku MVP.

Homebois akhirnya tutup game pertama selepas hanya 11 minit 43 saat bertarung dan rekod 14 pembunuhan berbalas satu.

Skrip berbeza di game kedua, Homebois yang melancarkan serangan namun tidak berjaya, sebaliknya RSG bangkit dengan 'double kill' oleh Loleal yang menggunakan hero Moskov.

Kesilapan serangan Homebois itu pantas dimanfaatkan RSG yang kemudian terus melancarkan serangan balas tatkala tiga pemain Homebois telah terbunuh untuk perlawanan terikat satu sama.

Sedar dengan kesilapan itu, Homebois tampil dengan lebih cemerlang di game penentuan, Nets pula memainkan peranan utama untuk muncul MVP perlawanan.

"Kami tak boleh kalah dengan RSG sebab kami nak jaga maruah kami, pasukan kami semakin hari semakin baik dan percaya antara satu sama lain", kata Chibi.

Game ketiga yang berdurasi selama 15 minit 18 saat itu jelas didominasi oleh Homebois dengan jumlah 15 pembunuhan, manakala Nets cemerlang dengan 48 peratus penglibatan dalam pembunuhan secara keseluruhan.