MPLMY hari ini mengumumkan keputusan siasatan yang dilakukan terhadap pasukan Bountee Esports, di mana seorang bekas pemain mereka, Nik "Dominus" Muhyiddin, digantung selama setahun daripada sebarang aktiviti berkaitan MPLMY, MALMY dan semua acara anjuran Moonton Games.


Dominus didapati melakukan percubaan mengatur perlawanan dan percubaan memberikan insentif kewangan kepada pemain Bountee Esports untuk melepaskan perlawanan.

Siasatan itu juga mendapati Bountee Esports tidak melakukan sebarang pelanggaran tetapi pasukan itu komited untuk mengukuhkan operasi dan pengurusannya dengan kerjasama MPLMY.

Ia menyaksikan penggantungan Dominus berkuatkuasa hari ini sehingga 18 April 2024.

"Sebagai liga esukan paling lama di negara ini, MPL Malaysia menjunjung standard profesionalisme dan tingkah laku tertinggi. Ini termasuk mengambil pendekatan toleransi sifar terhadap pengaturan perlawanan, mengikut Buku Peraturan liga –- Tiada Ahli Pasukan boleh menawarkan, bersetuju, berkomplot atau cuba mempengaruhi keputusan Permainan atau Perlawanan dengan sebarang cara yang dilarang oleh undang-undang atau Peraturan ini (12.2.14).

"Kedudukan kami disokong oleh Garis Panduan Pembangunan Esukan Negara (NESDEG), yang diperkenalkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada 2023; Bab 3 'melarang semua bentuk penipuan, manipulasi, dan rasuah dalam aktiviti sukan'.

"Melangkah ke hadapan, liga akan menggandakan usaha kami dalam penglibatan pasukan untuk memastikan pemain dijaga dengan teliti, dan meningkatkan pendidikan tentang amalan dan nilai yang baik untuk pasukan untuk memupuk persekitaran sukan yang selamat, sihat dan menghormati ahli mereka. Kesejahteraan setiap peserta dalam MPL Malaysia adalah penting.

"Adalah penting bagi kami untuk meningkatkan usaha untuk landskap esport negara tahun ini, dengan Malaysia bersedia untuk mengalu-alukan pasukan Mobile Legends: Bang Bang terbaik sebagai tuan rumah Kejohanan Dunia M6.
"
"Kami akan terus mengambil berat dan meningkatkan antara satu sama lain," kata kenyataan itu.