Pengarah Kejurulatihan, Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S. Maniam, mahu Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mempertimbangkan semula keputusan menggugurkan acara itu dalam senarai akhir Sukan Olimpik Paris 2024.

Maniam menganggap skuasy sudah berjaya melahirkan atlet serta pelapis yang mampu mengharumkan nama negara di persada dunia dan layak diberi peluang untuk membanggakan Malaysia di Paris nanti.

Bekas ketua jurulatih skuad negara itu turut menyatakan keputusan tersebut mengecewakan SRAM kerana masih tidak diberi peluang menjadi sukan pilihan sejak Sukan Olimpik 2016 di Rio.

"Ia menjadi satu tamparan buat skuasy. Diharapkan IOC dapat mempertimbangkan semula keputusan yang telah dibuat dan memberi peluang. Saya tidak mahu terlalu berharap tetapi mungkin mereka boleh pertimbangkannya semula," katanya.

Justeru, IOC akan bersidang Jun depan sebelum memuktamadkan empat sukan ekstrem, iaitu mendaki, papan selaju, luncur air serta breakdance ke Paris dengan keputusan akan diumumkan pada Disember 2020, empat bulan selepas Sukan Olimpik Tokyo tamat.

Sementara itu, buat bekas pemain skuasy negara, Azlan Iskandar, optimis dengan kebolehan atlet negara untuk menempa nama dalam kejohanan antarabangsa yang lain walaupun tidak disenaraikan dalam sukan akhir Olimpik 2024.

"Saya rasa ia agak menyedihkan buat skuasy. Walaupun IOC tidak fikir skuasy layak masuk dalam Olimpik, kami tetap meraih hadiah wang tunai paling besar dalam 2019. Jadi, walaupun tidak ke Olimpik, penaja lain tetap percaya kepada sukan skuasy," ujarnya.

Azlan turut berminat untuk bertanding sebagai calon presiden skuasy Asia Tenggara selepas mendapat lampu hijau daripada Presiden SRAM, Nik Razeen Daud, sekali gus memperjuangkan masa depan skuasy negara.

"Saya berterima kasih setelah diminta Nik Razeen untuk bertanding bagi kerusi presiden. Namun, ia lebih kepada mengembangkan sukan skuasy di Asia Tenggara," tambah Azlan.