Hasrat Syakilla Sani Jefry Krisnan untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 kembali menyala apabila Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) bersetuju untuk memberikannya peluang kedua.

Setiausaha agungnya, Datuk Nur Azmi Ahmad, berkata badan induk itu berpuas hati dengan komitmen atlet berusia 27 tahun itu yang menurunkan berat badan daripada 65kg kepada 55.8kg sejak menjalani latihan intensif di Pattaya, Thailand di bawah kendalian bekas ketua jurulatih negara, Andris Vasiljevs.

Nur Azmi memaklumkan sebagai permulaan, Syakilla akan menyertai Kejohanan Karate1 Premier League di Tokyo dari 6 hingga 8 September ini sebelum beraksi dalam kejohanan sama di Moscow, 4 hingga 6 Oktober depan, dengan syarat perlu mengekalkan berat di bawah 55kg.

"Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan MAKAF gembira dengan perkara ini (penurunan berat badan Syakilla), dan kami tetap meletakkan Syakilla dalam kategori 55kg dalam Sukan SEA Filipina, November depan.

"Saya nampak kesemua pihak begitu komited membantu Syakilla untuk dia kembali menyumbang pingat emas untuk negara selepas ini," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat agung tahunan MAKAF yang dipengerusikan presiden, Tan Sri Ali Rustam, di ibu negara, hari ini.

MAKAF sebelum ini mengambil keputusan untuk menggantung Syakilla daripada menyertai kejohanan kelayakan ke Sukan Olimpik 2020 ekoran masalah berat badan dan keengganan atlet berkenaan menjalani latihan di bawah pengendali skuad karate negara, Ali Reza Souleymani.

Dalam pada itu, Nur Azmi menjelaskan MAKAF akan menghantar 18 atlet ke Sukan SEA dan masih mengekalkan sasaran empat pingat emas dalam temasya dwitahunan itu.

Daripada 18 atlet berkenaan, beliau menjelaskan 16 atlet diletakkan dalam kategori A manakala selebihnya dalam kategori B.

Penyertaan kategori A ditanggung sepenuhnya oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) manakala penyertaan kategori B pula menyaksikan persatuan sukan terlibat perlu mendahulukan wang perjalanan dan MOM akan membayar kembali wang berkenaan sekiranya atlet tersebut sekurang-kurangnya meraih pingat gangsa.

Beliau menjelaskan skuad negara akan menjalani latihan 'sparring' sama ada dengan atlet dari Iran atau Eropah, Oktober depan selain menyertai kem bina negara di Durian Tunggal, Melaka pada bulan yang sama untuk menguatkan mental sebelum ke Sukan SEA.

Untuk rekod, Malaysia muncul juara keseluruhan karate dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 setelah mengutip tujuh pingat emas.

-- BERNAMA