TLHT 4 LISHC 2

Pertemun dua pasukan teratas Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM), Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) dan Kelab Hoki Liaoning Infinite Space (LISHC) di Kuala Terengganu, petang tadi, berpihak kepada tuan rumah dengan kemenangan 4-2.


TLHT, yang dibimbing Iman Gobinathan, begitupun ketinggalan seawal minit kelima menerusi jaringan padang Liu Xinyu, namun mereka kembali memperkemaskan rentak.

Tonggak import India, Jaswinder Kaur, bijak menyambar hantaran Manmeet Kaur pada minit ke-15 sebelum Jaswinder sekali lagi mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-26.

Tuan rumah berpeluang melebarkan kedudukan pada minit ke-29 malangnya pukulan kencang Wan Norfaiezah Md Saiuti diselamatkan penjaga gol lawan.

Aksi suku ketiga semakin rancak menyaksikan LISHC -- kelab yang berpangkalan di China -- mengikat kedudukan 2-2 pada minit ke-33 melalui pukulan sudut penalti Li Feng.

Jaswinder melengkapkan hatrik menerusi gol padang pada minit ke-41 sebelum Siti Rahmah Othman (m-46) melengkapkan kemenangan 4-2 buat TLHT.

Kemenangan keempat berturut-turut itu menyaksikan TLHT terus gah di kedudukan teratas LHWM manakala LISHC mengalami kekalahan pertama musim ini.