Pelumba basikal profesional Malaysia, Mohd Hafidz Abd Hamid, dinobatkan sebagai juara kategori elit lelaki 140km Kejohanan Berbasikal L'Etape, Melaka, edisi ketiga selepas memintas kedudukan juara bertahan, Matthew Brittain.

Hafidz, yang turun dalam penampilan kedua pada kejohanan berbasikal amatur terbesar dunia itu, melengkapkan kayuhan sejauh 140km dengan catatan masa selama 3:20:31.56s.

"Saya telah menyusun strategi saya supaya mampu membantu saya ketika perlumbaan. Saya tidak mahu membazir tenaga pada masa yang tidak sepatutnya dan mencuba untuk 'play safe' supaya dapat memecut di kilometer terakhir," katanya.

Dalam kategori wanita, Alicia Brittain, dari Singapura berjaya mempertahankan gelaran edisi lalu dengan rekod 3:23:27.41s untuk menjulang kejuaraan, manakala wakil negara, Amelie Tan, mencatat 3:47:05.93s bagi meraih tempat kedua.