Tiga permata baru sukan olahraga negara, Ng Tak Sing, Pengiran Aidil Auf Hajam, Hanssen Yap Soon Fu yang mencipta sensasi, layak secara merit ke Kejohanan Remaja Dunia di Lima, Peru Ogos ini berdepan keputusan penting yang perlu diambil.

Buat penampilan di Peru atau beraksi di Sukma Sarawak ekoran pertembungan tarikh kejohanan bakal menjadi keputusan yang amat penting buat tiga atlet ini ambil.

Acara olahraga Sukma Sarawak bermula 19 Mei -- tatkala saingan Kejohanan Remaja Dunia membuka tirai 27 Mei -- jadi persoalannya, kejohanan mana jadi keutamaan?

Pelari pecut sensasi muda negara, Yap Soon Fu, berjaya membuktikan kewibawaan selaku status penerus legasi acara reben biru selepas Haiqal Hanafi, Khairul Hafiz Jantan serta Azeem Fahmi.

Hanssen layak secara merit ke Peru selepas merekodkan catatan 10.41 saat dalam saingan 100 meter.

Dua pingat gangsa negara disumbangkan Pengiran dalam acara 200 meter -- disusuli sensasi atlet lompat kijang, Ng Tak Sing.

Difahamkan, jadual penerbangan ke Peru mengambil masa dua hari dan situasi ini menyukarkan atlet menyertai kedua-dua kejohanan pada satu masa.

Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memberi masa buat tiga atlet itu untuk buat pilihan memandangkan, kedudukan podium di Sukma merupakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) buat atlet yang berada dalam program pelapis kebangsaan.

"Biarkan Atlet membuat pilihan kerana mereka perlu berbincang dengan Majlis Sukan Negeri terlebih dahulu.

Jika mereka mendapat emas dan meraih podium di SUKMA semestinya terdapat imbuhan untuk mereka.

Program pelapis kebangsaan MSN dinilai berdasarkan prestasi semasa atlet di kejohanan SUKMA nanti dan perlu ada perbincangan dengan MSN jika tiga atlet ini memilih untuk ke kejuaraan dunia berbanding SUKMA nanti. " kata Pengarah Teknikal KOM, Robert Ballard.