Malaysia bergelar naib juara acara regu Kejohanan Dunia Sepak Takraw King's Cup selepas tewas 0-2 kepada tuan rumah, Thailand, dalam aksi final di Korat sebentar tadi.

Selepas menewaskan India dalam aksi separuh akhir semalam, Malaysia menunjukkan petanda positif untuk memenangi set pertama, di mana gandingan Syahir Rosdi (tekong), Amirul Zazwan Amir (pengumpan) dan Khairol Zaman Hamir Akbar (perejam) bangkit mengikat kedudukan 18-18 tetapi kemasukan tekong berbisa Thailand, Siriwat Sakha, menyaksikan skuad negara tewas 20-22 dalam set pertama.

Biarpun regu negara cuba meneruskan saingan sengit dalam set kedua, Malaysia akhirnya terpaksa akur melepaskan kejuaraan kepada pasukan tuan rumah itu selepas tewas 16-21 dalam set kedua.

Untuk rekod, regu negara mara ke final setelah menumpaskan India 21-19, 21-13 dalam aksi separuh akhir manakala Thailand pula mengalahkan Myanmar 21-9, 21-9.