Ketika saingannya baru membuka tirai, jurulatih UniKL, Arul Selvaraj, mencadangkan perubahan drastik ke atas Liga Hoki Malaysia (LHM) demi kepentingan skuad kebangsaan.

Menurutnya, LHM semakin ketandusan pemain berkualiti yang menyaksikan hanya enam pasukan bertanding susulan penarikan diri Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC).

Malah, tiadanya langkah berkesan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) juga menyumbang kepada situasi itu, dengan memanjangkan tempoh LHM menjadi antara cadangan Arul.

"Bagi yang bukan pemain kebangsaan, ini sahaja kejohanan kompetitif mereka manakala Piala Razak itu hanya membuang masa.

"Liga-liga utama di Eropah contohnya berjalan sehingga lapan bulan dan saya pernah mencadangkan perkara sama.

"Banyak pendapat diberikan kepada KHM, namun terlalu ramai yang arif dalam persatuan tersebut," luah bekas pemain Malaysia itu.

Peranan Pengarah Teknikal, Terry Walsh, turut dipersoalkan selain kekurangan anggota skuad remaja negara -- pemenang pingat emas Sukan Olimpik Remaja (YOG) di Buenos Aires, Argentina -- dalam LHM.

Arul berkata terdapat juga badan korporat yang berminat untuk merancakkan LHM, malangnya gagal mendapat pulangan setimpal dengan saingan liga hanya berjalan hampir dua bulan.

"Apa tugas Walsh selain menemani skuad kebangsaan ke luar negara?

"Sebelum LHM berkubur, KHM perlu berubah kerana hoki bukan hak mereka tetapi hak semua orang," tambah Arul.