Selepas meraih pingat perak dalam Kejohanan Memanah Dunia 2019 dan layak secara merit ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, misi pemanah senior negara, Khairul Anuar Mohamad, kini mahu memastikan pasukan recurve kebangsaan turut mengikut jejak yang sama.

Dia tidak mahu dibelenggu kemenangan lalu, sebaliknya mahu memastikan pasukannya memperbaiki kelemahan untuk melayakkan diri dalam acara recurve berpasukan di pentas Olimpik 2020.

Atlet berumur 27 tahun itu berharap kejayaannya dalam Kejohanan Dunia dapat merangsang barisan pemanah lain untuk memburu slot sama menerusi saingan Piala Dunia yang akan berlangsung di Berlin tahun depan.

"Memang setiap tahun kami sentiasa ada program. Macam sekarang, kami belum diberitahu sebarang perkembangan daripada jurulatih dan di hari pertama latihan kami minggu ini, fokus lebih terarah kepada teknik dari jarak dekat untuk mendapatkan semula rentak," katanya.

Untuk rekod, skuad memanah berpasukan negara tidak pernah terlepas layak secara merit ke Sukan Olimpik sejak saingan di Beijing 11 tahun lalu.

Malah, perancangan juga sudah diatur dengan mengadakan latihan di Tokyo dalam tahun ini sebagai sebahagian daripada persiapan awal Olimpik dan bagi menghadapi Sukan SEA Filipina, November depan.

"Kalau secara peribadi, masih ada sedikit kekurangan. Saya sudah lama berada dalam skuad, jadi kami tahu di mana tahap sendiri sama ada daripada diri sendiri atau pasukan. Kami akan perbaiki langkah demi langkah," ujarnya.