Kedua-dua atlet negara yang dikaitkan dengan kes doping digantung daripada menerima semua kemudahan Program Podium, namun pengarah program itu, Tim Newenham, menegaskan elaun bulanan mereka tetap diteruskan selagi siasatan belum selesai.

Program Podium yang direka khas untuk bintang sukan negara menerima tamparan apabila kedua-dua kes doping membabitkan atlet mereka.

Justeru, semua kemudahan dihentikan serta-merta sambil Newenham berkata mereka tetap berkompromi kerana siasatan masih berjalan.

Apatah lagi, kedua-dua atlet itu masih belum menerima keputusan sampel B, sekaligus layak untuk menerima elaun bulanan.

"Ini merupakan satu polisi apabila atlet digantung (daripada Program Podium) selagi siasatan masih berjalan.

"Ini bermakna atlet akan terus menerima elaun, namun penglibatan mereka untuk kemudahan dan dalam kejohanan akan digantung," katanya.

Ketika ini, penerjun negara sedang menunggu keputusan sampel B sementara badang kebangsaan, Hafifi Mansor, menunggu maklum balas Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) selepas diumumkan positif oxymethalone.

Bagi mengurangkan kes pada masa akan datang, Newenham sedang merangka perbincangan dengan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS).

"Program Podium akan memberi sokongan kepada Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) kerana bahan terlarang sama sekali tidak mempunyai tempat dalam sukan.

"Adalah penting menyalurkan pengetahun tentang anti-doping, atlet perlu bertanggungjawab ke atas kandungan di dalam tubuh badan mereka.

"Sudah banyak kali kami berpesan kepada atlet untuk bertanggungjawab mencapai standard yang ditetapkan WADA," katanya.