Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Arul Selvaraj kini bergantung harap pada impak dan magis tersendiri untuk diterjemahkan ke dalam bentuk kemenangan. Pemain utama skuad telah dirombak hasil pasca kegagalan di Sukan Asia Hangzhou yang lalu.

Namun, rombakan yang dilakukan Arul bukan bersifat 'hukuman,' sebaliknya disebabkan keterpaksaan ekoran kecederaan yang melanda lima pemain utama The Speedy Tigers yang tidak bersama kem negara ketika ini di Muscat, Oman.

Skuad negara akan sekali lagi bertemu China di peringkat kumpulan dan Arul kekal optimis, kudrat baru yang diketengahkan mampu meruntuhkan tembok besar China sekaligus memadam senario yang gagal dilakukan anak didiknya di Hangzhou yang sekadar menamatkan saingan di peringkat kumpulan.

"Kita sudah kaji cara permainan skuad China dari aksi-aksi yang lepas. Taktikal serangan kita perlu diperkuatkan untuk membenam skuad China," ujar Arul Selvaraj menerusi laporan Karl Nunis di Nadi Weekend.