Skuad dodgeball lelaki negara membawa pulang pingat emas dalam saingan Kejohanan Dodgeball Dunia 2022 di Kanada selepas menewaskan Australia 10-5 sementara pasukan campuran negara memperoleh pingat perak.

Malaysia menempah slot ke final selepas menundukkan tuan rumah 8-3 di Pusat Sukan Komuniti Saville, Edmonton.

Turun dalam aksi final awal pagi tadi, Malaysia memastikan gelaran juara dunia apabila mengatasi Australia 10-5 -- Malaysia turut memperoleh anugerah Pemain Paling Bernilai menerusi Carlos Goonting.

Sementara dalam saingan campuran, Malaysia terpaksa akur dengan pingat perak apabila tewas kepada Kanada 7-3.

“Ini adalah satu penghormatan besar bagi Malaysia kerana kita menyambut Hari Merdeka ke-65 dan juga Hari Malaysia.

“Sebagai Presiden Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD), kami amat berbangga dengan pencapaian pasukan kami ketika kami berdepan beberapa pasukan terbaik dunia.

“MAD menyasarkan dua pingat emas tetapi untuk meraih satu emas dan satu perak, kami tetap berterima kasih kepada pasukan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Sukan (KBS), Institut Sukan Negara (ISN), Berjaya Corporation, Black Box dan semua penaja lain atas sokongan tidak berbelah bahagi.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada jurulatih kami atas kerja cemerlang mereka dalam menyediakan pasukan kami," kata presiden MAD Radha Krishnan.

Untuk rekod, skuad lelaki negara mengulangi pencapaian juara kategori lelaki pada edisi 2017 di Toronto, Kanada, diikuti pencapaian skuad lelaki mengulangi kejayaan sama pada edisi 2018 di Los Angeles sebelum kedua-dua pasukan masing-masing muncul naib juara pada edisi berikutnya di Cancun, Mexico, 2019.