Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sudah membentangkan peruntukan belanjawan sebanyak RM500 juta kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang akan mengumumkan Belanjawan Negara 2017, Jumaat ini, bagi kesinambungan kejayaan atlet negara di Sukan Olimpik dan Paralimpik.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, jumlah itu adalah untuk penganjuran Sukan SEA dan Sukan Para Asean di Kuala Lumpur, tahun depan.

Jika peruntukan tersebut diluluskan, ia menyaksikan peningkatan lebih 50 peratus daripada jumlah peruntukan buat KBS ketika belanjawan tahun lalu, yang berjumlah RM 242 juta.

"Secara kasarnya, untuk sukan SEA, Sukan Para Asean, termasuk persediaan atlet serta penganjuran untuk tahun hadapan, anggaran perbelanjaan adalah melebihi RM500 juta.

"Jumlah tersebut tidak termasuk Program Podium, yang memerlukan dalam RM70 juta untuk kami meneruskannya, serta program-program lain seperti Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), yang mempunyai bajet tersendiri," jelasnya.

Tambah Khairy, beliau turut memaklumkan kepada Najib bahawa program lain kendalian KBS seperti NFDP juga perlu diteruskan.

Khairy menegaskan, jika peruntukan yang diminta KBS tidak diluluskan sepenuhnya, kementeriannya akan mengutamakan program atau penganjuran yang memerlukan peruntukan kewangan segera.

"Mungkin ada program yang terpaksa kami tangguhkan terlebih dahulu oleh kerana Sukan SEA menelan perbelanjaan yang cukup besar. Saya sudah berbincang dengan pegawai KBS dan kami telah menyusun semula keutamaan.

"Saya berharap kita akan muncul selaku juara untuk Sukan SEA. Untuk Program Podium dan NFDP serta Hari Sukan Negara dan juga Fit Malaysia, ia perlu diteruskan," tambahnya.