Lenggok tubuh dan riak wajah kekecewaan menyelubungi kem negara susulan kegagalan Firhan Ashari menyempurnakan penentuan penalti dalam Piala Dunia di India, semalam.

Sukar untuk ditelan tetapi ia realiti pahit yang bakal menjadi pengajaran berguna buat pemain muda seperti Shello Silverius yang bakal menjadi taruhan utama posisi penyerang dalam jangka masa panjang.

Biarpun penyerang senior, Faizal Saari berada di kemuncak prestasi kempen kali ini, apakan daya nasib nyata tidak menyebelahi skuad The Speedy Tigers untuk ke suku akhir.

"Kecewa tetap kecewa sebab kalah di peringkat penentuan penalti. Tapi pemain bermain dengan bermati-matian, mereka ditewaskan dengan maruah tinggi.

"(Pemain negara menunjukkan satu) persembahan bermaruah, bermatian-matian walaupun ketinggalan 1-2.

"Pemain telah menunjukkan sesuatu yang boleh dibanggakan kerana Malaysia berjuang untuk dapatkan kemenangan dalam perlawanan kedua, ketiga dan keempat," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.





Biarpun kecewa, ia satu permulaan baru dan misi seterusnya di Bhubaneswar apabila bakal diuji Afrika Selatan, Khamis ini, bagi menamatkan saingan di kedudukan kesembilan dan jika berhasil, ia keputusan terbaik di pentas Piala Dunia sejak edisi 2002.

"Kami masih perlu habiskan kempen ini untuk berjuang bagi perlawanan klasifikasi kesembilan hingga 12.

"Saya harap peminat negara dapat memberikan sokongan penuh bagi kami mencapai kedudukan terbaik di sini," katanya lagi.