JEPUN 0 MALAYSIA 5

Malaysia semakin menghampiri impian untuk menjulang trofi Piala Asia selepas mencatat kemenangan memberangsangkan 5-0 ke atas Jepun, sebentar tadi.


Perlawanan terakhir peringkat Super 4 membabitkan pasukan kebangsaan itu menyaksikan Malaysia melancarkan serangan bertali arus sejak awal perlawanan sebelum penyerang, Shello Silverius, membuka tirai jaringan pada minit ke-15 yang juga gol sulungnya di Jakarta.

Anak buah Arul Selvaraj itu terus menggandakan asakan apabila pemain tengah, Nik Aiman Nik Rozemi, melebarkan kedudukan 2-0 yang juga merupakan gol sulungnya dalam kejohanan ini.

Selepas rehat, penjaring terbanyak kempen dengan 12 gol, Razie Rahim, menjadikan kedudukan 3-0.

Tetapi sebelum Jepun sempat mengatur langkah, Syafiq Hassan terus melebarkan kelebihan skuad The Malaysia Hockey Tigers dengan gol keempat perlawanan.

Menuju ke akhir suku ketiga, penyerang kebangsaan, Ashran Hamsani, meledak gol kelima perlawanan yang juga merupakan gol ke limanya sepanjang kejohanan ini.

Suku terakhir menyaksikan negara Matahari Terbit itu cuba mengelak diaibkan lebih terus dengan mengukuhkan pertahanan mereka untuk keputusan muktamad 5-0 berpihak kepada skuad kebangsaan.

Perlawanan di antara India dan Korea Selatan yang berkesudahan 4-4 melayakkan Korea Selatan membuat perhitungan dengan Malaysia dalam final di Padang Hoki GBK, malam esok.

Sehubungan itu, ketua pasukan negara, Marhan Jalil, memuji tahap persembahan pemain muda sambil menuntut mudah-mudahan ia dapat diteruskan bagi perlawanan getir kelak.

"Saya percaya dengan kemampuan pemain muda ketika mereka main dengan yakin.

"Dengan adanya semangat saya rasa mereka boleh jadi pemain yang bagus. Mereka telah tunjukkannya hari ini cuma mereka perlu pamer prestasi tekal.

"Aksi terbaik hari ini perlu dibawa ke hari esok," katanya.

Menurutnya lagi: "Sangat besar. dari mula datang ke sini, kami sasar untuk final dan menjadi juara.

"Tapi kami ambil satu persatu perlawanan, kami turun dengan misi kemenangan dalam setiap perlawanan untuk membolehkan kami muncul juara."