MALAYSIA 8 BANGLADESH 1

Malaysia melangkah ke pusingan Super 4, Kejohanan Hoki Piala Asia selaku juara Kumpulan B selepas membelasah Bangladesh 8-1 di Padang Hoki GBK, Jakarta hari ini.
'
Skuad negara, yang sebelum ini mengesahkan kemaraan dengan membenam Oman 7-0 dan menewaskan Korea Selatan 5-4, mengekalkan kemenangan bersih menjelang pusingan 'round-robin' kedua itu bermula Sabtu ini.

Ia bermakna pasukan bimbingan Arul Selvaraj itu berada di landasan terbaik untuk melayakkan diri ke Piala Dunia Hoki di India tahun depan, di mana tiga pasukan terbaik dalam kejohanan itu akan layak secara merit.

Aksi di Jakarta menyaksikan Razie Rahim sekali lagi merekodkan jaringan hatrik, masing-masing pada minit keempat, 14 dan 30 untuk kini mendahului carta penjaring terbanyak dengan lapan gol.

Turut cemerlang adalah penyerang, Faizal Saari, yang juga menjaringkan tiga gol pada minit ke-24, 31 dan 46.

Dua lagi penyumbang gol Malaysia adalah Najmi Farizal Jazlan (minit ke-41) dan Ashran Hamsani (m60).

Kemenangan itu menyaksikan The Malaysian Hockey Tigers mengumpulkan mata maksimum sebanyak sembilan mata daripada tiga perlawanan dan tiga mata mengatasi pasukan di tangga kedua, Korea Selatan, yang turut akan bersaing dalam pusingan Super 4.

*Kredit foto: AHF