Skuad hoki negara kendalian Arul Selvaraj kini menetapkan sasaran baru untuk menjuarai Piala Asia buat kali pertama dalam sejarah selepas layak ke Piala Dunia 2023.

Ketua jurulatih, Arul Selvaraj mendapat sokongan pemain yang kekal dengan disiplin tinggi termasuk menghadkan penggunaan telefon bimbit sehingga tamat kejohanan.

"Misi pasukan dan misi Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) adalah layak ke Piala Dunia 2023 dan ia sudah tercapai. Kini, yang tinggal adalah misi pemain iaitu hasrat mereka untuk memenangi Piala Asia 2022.

"Semuanya terletak kepada pemain untuk menggapai hasrat berkenaan demi Malaysia dan KHM. Sukan Asia bagi tahun ini ditunda dan ini bermakna Piala Asia 2022 adalah satu-satunya kejohanan yang tinggal di peringkat Asia," katanya.

Malaysia menewaskan Korea Selatan, 5-4 dalam saingan Kumpulan B namun cabaran peringkat 'Super 4' esok dijangka lebih sukar.

Pertahanan hoki Korea, Jang Jong-hyun arif mengenai kekuatan The Malaysian Hockey Tigers kerana dia beraksi dalam Liga Hoki Malaysia sejak 2014.

Tonggak Terengganu Hockey Team itu pernah muncul penjaring terbanyak LHM sebanyak tiga kali sekali gus jadi senjata utama berdepan Malaysia pada peringkat 'Super 4' Piala Asia esok.

Malah dua lagi pertahanan, Lee Nam-yong dan Jung Man-jae turut pernah beraksi dalam LHM.

"LHM satu pengalaman yang berharga tetapi saya terlepas saingan itu sejak COVID-19. Apabila datang ke sini, pasukan Malaysia sudah berubah daripada segi barisan pemain dan jurulatih," kata Jong-hyun.