Skuad hoki wanita Pulau Pinang berjaya menempah slot ke pusingan kedua Kejohanan Hoki Bawah 16 tahun Kebangsaan selepas cemerlang membelasah Negeri Sembilan 6-1 untuk muncul juara Kumpulan B.

Pulau Pinang berada di depan seawal minit keenam menerusi jaringan ketua pasukan, Siti Nur Arfah Mohd Nor, sebelum dua jaringan pantas Siti Nur Atikah Shaikh Maznan dan gol kedua Nur Arfah meletakkan Pulau Pinang selesa sebelum suku kedua berakhir.

Nur Anis Adilah Azmi menjaringkan gol keempat Pulau Pinang pada minit ke-34 sebelum Negeri Sembilan meraih jaringan sagu hati lima minit kemudian menerusi Nurul Anis Mohd Fauzi.

Namun, jaringan Dayang Nur Atasha Shahrul Sani pada minit ke-49 dan hatrik Siti Nur Arfah melengkapkan kemenangan besar Pulau Pinang.

"Pemain-pemain saya gagal mempamerkan permainan yang baik pada aksi awal peringkat kumpulan berdepan Pahang. Kemenangan ini dianggap sebagai permulaan aksi cemerlang kami bagi menghadapi saingan pusingan kedua nanti," kata ketua jurulatih Pulau Pinang, Leo Vincey.

"Ini merupakan satu keputusan yang mengecewakan," kata pengendali Negeri Sembilan, M. Vivenkananda.

"Mungkin pemain-pemain sudah terlalu selesa kerana sudah menempah slot ke suku akhir tetapi ia bukan alasan utama kami kerana segala perancangan gagal disempurnakan dalam perlawanan ini."