Kapten skuad hoki negara, Sukri Abdul Mutalib, kagum dengan semangat juang rakan sepasukan yang sanggup cedera demi memastikan Malaysia layak ke final Sukan Asia 2018 selepas menewaskan juara bertahan, India, 7-6 menerusi penentuan pukulan penalti dalam separuh akhir, malam ini.

Terdahulu, Malaysia bangkit untuk seri 2-2 dalam 60 minit masa sebenar permainan.

Setiap pemain sanggup menahan bola menggunakan badan dan secara tidak langsung akan mengalami kecederaan seperti pertahanan, Syed Mohd Syafiq Syed Cholan, dan penjaga gol, S. Kumar, kerana menghalang pukulan padu lawan.

Malah, pemain negara tidak patah semangat untuk bangkit dua kali, masing-masing menerusi penyerang, Faizal Saari, dan pakar pukulan sudut penalti, Muhammad Razie Abd Rahim, untuk mengheret perlawanan ke penentuan pukulan penalti.

India, pasukan di ranking kelima dunia, mendahului perlawanan pada minit ke-32 hasil pukulan sudut penalti yang disempurnakan Harmanpreet Singh.

Berselang hanya tujuh minit, Faizal mengikat kedudukan 1-1 menerusi gol padang hasil satu serangan balas pantas.

Bagaimanapun, kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Varun Kumar kembali membawa India di depan menerusi gol pukulan sudut penalti pada minit ke-40.

Ketika India sudah sebelah kaki berada dalam final, Muhammad Razie menjaringkan gol padang ketika permainan berbaki seminit untuk pemenang terpaksa diputuskan menerusi penentuan pukulan penalti.

Malaysia akhirnya menang 7-6 selepas pukulan penalti terakhir Sunil Sowmarpet Vitalacharya diselamatkan Kumar.

"Perkara utama dalam perlawanan ini adalah keberanian pasukan. Pemain-pemain Malaysia telah menghalang setiap percubaan India ke arah pintu gol," kata Sukri.

Kumar wajar mendapat pujian apabila menghalang empat percubaan India dalam penentuan pukulan penalti dan saat ini akan dikenang sebagai detik Malaysia layak ke final buat kali kedua dalam sejarah Sukan Asia.

"Kami mengetahui Malaysia bukan pasukan pilihan dalam perlawanan ini," kata Kumar.

"Banyak dugaan dihadapi pasukan sebelum menyertai Sukan Asia. Seluruh pemain telah memberikan yang terbaik dan kami telah mengejutkan pasukan kelima terbaik dunia untuk ke final," tambahnya.

Ketua jurulatih negara, Stephen Van Huizen, menyimpulkan: "Kami bersyukur dengan percaturan pemain-pemain yang mengambil penentuan pukulan penalti. Saya sangat gembira di atas kemenangan ini."

"Kecewa dengan kekalahan ini," kata pertahanan India, Rupinderpal Singh, pula.

"Saya berasakan Malaysia telah bertahan dengan baik, jadi tahniah buat mereka."

Malaysia akan berdepan Jepun dalam perebutan pingat emas, sekaligus tiket automatik beraksi dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.