Atlet memanah recurve negara, Haziq Kamaruddin, menganggap Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) mengambil keputusan tepat dengan mengekalkan khidmat Lee Jae-hyung selaku ketua jurulatih untuk tempoh setahun lagi.

Kedudukan Jae-hyung yang mengemudi skuad negara sejak 2001 menjadi tanda tanya berikutan prestasi kurang konsisten anak buahnya sepanjang 2018.

Begitupun, hasil perbincangan bersama Majlis Sukan Negara (MSN), NAAM mengekalkan Jae-hyung tetapi dengan tugasan yang berbeza.

Tanggungjawabnya selepas ini akan lebih menjurus untuk memantau prestasi jurulatih tempatan.

Skuad recurve lelaki dijangka akan dikendalikan oleh Norizam Ishak manakala Marbawi Sulaiman melatih skuad recurve wanita.

Dalam masa sama, Muhammad Zaki Mahazan dan Adnan Ahmad masing-masing menjadi pilihan untuk melatih skuad compound lelaki dan wanita.

"Jae-hyung sememangnya sudah pun memantau kategori memanah yang lain dari jauh.

"Dengan diberikan tugas khusus, maka perhatiannya terhadap kami semakin berkurangan.

"Tetapi Jae-hyung telah mengajar dan melatih Norizam dengan baik. Lagipun, Jae-hyung masih boleh berbincang dengan kami," kata Haziq.

Tumpuan utama buat skuad memanah tahun ini sudah pasti siri pertama Piala Asia 2019 di Bangkok, Thailand, Mac depan.

Kejohanan itu bakal menentukan hala tuju skuad recurve berpasukan negara, khususnya untuk menghadapi Kejohanan Dunia di Belanda, dengan slot kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 menjadi buruan.

"Kali terakhir kami menyertai pertandingan adalah dalam Sukan Asia 2018.

"Oleh itu, kami perlu memasuki kejohanan ini dengan misi mendapatkan rentak dan momentum untuk mendapatkan mata agar kami dapat mengharungi Sukan SEA Filipina 2019 dan kejohanan yang lain dengan baik," katanya lagi.