Mekanik Malaysia pertama di pentas MotoGP, Habibtullah Mohd Fuad, kini sedang hangat dikaitkan untuk kembali bergandingan dengan Hafizh Syahrin di pentas Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) bersama pasukan baru, JDT Racing team.

Habibtullah, yang lebih mesra dengan panggilan Habib, pernah menjadi mekanik utama Hafizh Syahrin selama enam tahun di arena Moto2 sebelum pelumba negara itu mencipta sejarah beralih ke kategori perdana, MotoGP, bersama pasukan Monster Yamaha Tech 3 pada 2018.

Habib kemudian turut mencipta sejarah sebagai mekanik Malaysia pertama berkhidmat di pentas MotoGP bersama pasukan RNF MotoGP pada 2022.

Tinjaun di laman sosial menyaksikan Habib sudah mula memberikan bayangan bahawa dia akan kembali berkhidmat bersama Hafizh Syahrin di JDT Racing Team dan tiada masalah untuk ke pasukan itu biarpun ARRC dilihat berada di tahap lebih rendah berbanding MotoGP.

Peminat kedua-dua individu berkenaan juga kelihatan menyambut baik perkara itu, bahkan ada yang yakin bahawa JDT Racing Team juga akan ke saingan MotoGP satu hari nanti.