Atlet baling tukul besi wanita, Grace Wong, mahu kembali mencari slot ke Sukan Asia Jakarta-Palembang selepas terpaksa melupakan Sukan Komenwel Gold Coast atas sebab masalah keluarga.

Walaupun sebelum ini dia meletakkan tempoh berehat selama setahun, anak jati Sarawak ini nampaknya tidak sabar untuk kembali membantu negara dalam lapangannya.

Tidak hairan Grace kini kembali mencari tempat untuk meletakkan dirinya kembali dalam senarai utama selepas berehat hampir empat bulan bermula awal tahun ini.

"Saya mahu cuba melakukan yang terbaik dalam setiap kejohanan yang disertai," kata Grace.

Dua kejohanan penting dalam Terbuka Malaysia bulan depan dan Kejohanan Remaja Asia di Jepun adalah sasaran utama Grace untuk sekurang-kurangnya mencapai catatan terbaik peribadi 60.99 meter yang dilakukan dalam Terbuka Korea, tahun lalu.

Catatan itu berada dalam kedudukan ketiga terbaik Sukan Asia Incheon, empat tahun lalu, sekali gus meletakkan Grace sebagai prospek terbaik untuk menyumbang pingat.

"Jurulatih banyak memberikan bantuan dalam meningkatkan mutu balingan saya," katanya.