Pendekatan selamat Francesco Molinari memberikan dividen sambil jaguh Itali itu menjuarai Terbuka British pada hari terakhir yang dramatik di Carnoustie, awal pagi tadi.

Pada hari yang menyaksikan angin kuat menyukarkan keadaan buat kelompok pendahulu, taktik berkesan Molinari menyaksikannya mencatat 69 yang memadai untuk jumlah keseluruhan lapan bawah par dan menggenggam Claret Jug dengan kelebihan dua pukulan.

Cara kemenangan Molinari – kad keputusannya merangkumi 16 par, dua birdie dan tiada bogey – harus lebih terserlah dengan kegagalan cabaran daripada pendahulu bersama, Jordan Spieth, di samping Tiger Woods dan Rory McIlroy.

Ramai yang meramalkan Spieth, yang mendahului bersama Kevin Kisner dan Xander Schauffele selepas 54 lubang, untuk mempertahankan Claret Jug yang dimenanginya dengan dramatik di Royal Birkdale, 12 bulan lalu, tapi dia gagal bangkit daripada sembilan lubang pertama yang hambar.

Buat seketika, ia kelihatan seperti Woods yang akan tampil selaku pencabar utama dan akhirnya meraih gelaran utama ke-15 sebagai mengakhiri kemarau gelaran selama 10 tahun apabila dia mendahului bersendirian pada tujuh bawah par.

Tetapi pemenang gelaran utama sebanyak 14 kali itu, yang mengenakan baju merah pilihannya pada hari Ahad, turut hanyut dalam saingan ketika memasuki sembilan lubang kedua.

McIlroy pula – yang mengancam untuk melakukan catatan rendah 60-an sepanjang minggu ini tapi gagal merealisasikannya – menunjukkan kebangkitan terlalu lewat untuk berkongsi kedudukan kedua dengan Schauffele, Justin Rose dan Kisner.

Kesudahannya, tinggallah Molinari, yang kini memiliki tiga kemenangan dalam enam kejohanan, untuk menakluki cabaran angin bagi menambah gelaran utama ini kepada senarai pencapaiannya.

Masalah Spieth bermula apabila mencicirkan satu pukulan di lubang 5 yang disusuli double bogey di lubang berikutnya, dengan menghalakan pukulan teenya ke arah penonton sebelum bolanya singgah di dalam semak.

Peluangnya untuk dijulang selaku pemain golf terbaik tahunan bagi tahun kedua berturut-turut lenyap dengan dua lagi bogey dalam perjalanan pulang ke rumah kelab.

Woods awalnya mengambil kesempatan selepas mengharungi sembilan lubang pertama dengan catatan dua bawah par, malangnya dia dikecewakan double bogey di lubang 11 apabila pukulan teenya menemui sekumpulan penonton manakala pukulan chip berikutnya pula tersasar.

Keciciran satu lagi pukulan di lubang berikutnya menyaksikan Woods gagal melakukan apa-apa untuk menebusnya.

KEDUDUKAN TERAKHIR

276 – Francesco Molinari (Ita)
278 – Justin Rose (Eng), Rory McIlroy (Ire U), Kevin Kisner (AS), Xander Schauffele (AS)
279 – Eddie Pepperell (AS), Tiger Woods (AS), Kevin Chappell (AS)
280 – Tony Finau (AS), Matt Kuchar (AS), Jordan Spieth (AS)