Kapten skuad sepak takraw negara, Farhan Adam, berhajat besar untuk menjulang trofi Piala Dunia ISTAF 2024 yang bakal membuka tirai bermula 18 hingga 26 Mei depan di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Jelas 'feeder' negara itu, dia meletakkan sasaran untuk melakar sejarah buat Malaysia dan dirinya selepas lebih 15 tahun menabur bakti buat skuad negara di pentas antarabangsa.

"Piala ini adalah perkara yang diimpikan oleh saya termasuk kami satu pasukan.

"Mungkin kalau ada yang kali kedua (piala dunia ISTAF seterusnya) mungkin saya tidak dapat lagi bermain," katanya.

Farhan, menyatakan hasratnya untuk memiliki piala yang sudah lama dia impikan sementara masih diberi peluang untuk bersinar di dalam dunia sepak takraw itu.

Farhan yang ditemu ramah oleh wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi berkata, skuad sepak takraw negara berada dalam keadaan bersiap sedia untuk berdepan lawan dari negara lain di Piala Dunia ISTAF itu.

Persiapan rapi skuad negara ini mungkin akan memberikan ganjaran buat mereka sekiranya kemenangan menjadi milik tuan rumah.