Timbul persoalan mengenai sama ada Farah Ann Abdul Hadi telah bersara daripada sukan gimnastik atau tidak selepas Olimpian negara itu dilaporkan tidak lagi menjalani latihan di Bukit Jalil.

Perkara itu disahkan oleh jurulatihnya, Ng Shu Wai, yang berkata Farah Ann kini sudah berhenti berlatih bersama skuad kebangsaan sejak dua minggu lalu.

Shu Wai, dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, tampak tidak menolak kemungkinan bahawa atlet berkenaan akan meninggalkan arena sukan negara memandangkan pernah menyatakan keinginannya untuk bersara selepas penampilannya dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 tahun lalu.

"Farah Ann baru-baru ini memaklumkan kepada kami bahawa dia memilih untuk berhenti dan setakat ini, kami rasa kami perlu menerima keputusan itu.

"Kerana dia sudah banyak kali berbincang dengan kami dan kami juga sudah menerima keputusannya sejak dua minggu lalu," katanya.