Jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, menyimpan impian besar untuk lapan pemainnya yang kini berkelana di Eropah agar mampu meraih pengalaman berguna untuk diterjemahkan bersama Malaysia Hockey Tigress.

Lapan pemainnya, termasuk penjaga gol, Farah Ayuni Yahya, sudahpun melengkapkan pelan seperti yang dimahukan Dhaarma selepas pemain berpengalaman itu selamat berlepas ke England, hari ini.

Tugasan Ayuni secara peribadi bersama kelab East Grindstead HC adalah merebut slot penjaga gol utama pasukan itu yang kini telah berpindah ke pasukan lain.

Ayuni perlu membuktikan kelibatnya untuk Liga England bukan sekadar memenuhi jemputan kelab semata-mata, malah dia memikul amanat Dhaarma berseorangan.

"Tiga pemain yang memenangi pingat emas dalam Sukan Olimpik berada dalam pasukan yang disertai Ayuni dan ia menggembirakan saya," kata Dhaarma.

"Pada awalnya, dia tidak mahu berkelana ke England tetapi saya telah memujuknya bagi meneruskan penghijrahan ini," ujarnya.

Kejayaan Ayuni menafikan tiga pukulan penalti ketika menentang England dalam Sukan Komanwel Gold Coast berjaya memancing perhatian kelab East Grindstead untuk mendapatkan khidmatnya.

Ayuni yang akan menyertai saingan Liga England sehingga penghujung November depan, bagaimanapun, akan terlepas aksi pertama yang menyaksikan kekalahan 2-1 East Grindstead kepada kelab Buckingham dalam aksi semalam.

"Saya telah memberitahu setiap pemain bahawa pengalaman di Eropah adalah sesuatu bekalan yang baik untuk diraih dan saya berharap ia akan menjadi teladan kepada pemain-pemain muda pada masa akan datang," katanya lagi.