Kehebatan yang ditampilkan pasukan Honda KC Racing sangat mencuri tumpuan apabila berjaya merangkul dua kejuaraan bagi kategori CP 125 dan WIRA KBS.

Kemampuan pasukan ini jelas tidak disangkal lagi di sebalik memiliki barisan pelumba yang masih muda tetapi mampu berdaya saing mengekalkan kejuaraan yang dikecapi pada pusingan pertama, di Litar Jasin Bestari.

Pelumba CP 125, Irfan Haykhal Amidi, dan penunggang WIRA KBS, Akif Abdullah Jelas, berada pada prestasi terbaik untuk terus menguasai arena sukan permotoran terutamanya pada cabaran cub prix akan datang.

"Saya sangat bersyukur kerana pasukan sudah melakukan sehabis baik dan mendapat hasil di luar jangkaan kerana pada mulanya kami mengalami sedikit kesukaran terhadap jentera kami.

"Kami sangat berbangga dengan penunggang kami yang sudah menunjukkan prestasi yang cemerlang dan semakin baik," kata Pengurus Pasukan Honda KC Racing, Wan Rosli Wan Mohamad