Pelumba Jetro Yamaha YY Pang Kategori CP150, Muhamad Aiman Tahiruddin, melaungkan amaran awal untuk mencabar gelaran yang dimiliki pelumba Petronas Sprinta CKJ Racing, Muhamad Akid Aziz, dalam usaha untuk merebut podium pada perlumbaan pusingan kedua Cub Prix 2024 di Litar Tangkak pada 4 dan 5 Mei depan.

Biarpun hanya menamatkan saingan keseluruhan di tempat ke-10 dalam perlumbaan pusingan pertama di Litar Jasin Bestari sebelum ini, namun kini dia bakal turun ke litar dengan senjata rahsia yang hanya akan dipertontonkan dalam saingan seterusnya nanti.

Dengan keupayaan jentera Yamaha YY Pang, dia mengakui kini komposisi fizikalnya yang lebih tegap amat sesuai dengan jentera tersebut memandangkan jentera tersebut lebih besar daripada jenteranya sebelum ini.




"Target saya adalah untuk mengakhiri perlumbaan dalam kedudukan lima terbaik dan mengumpul mata."

"Kelebihan jentera ini adalah kami senang untuk berkerjasama serta bersama pasukan yang sentiasa bersedia untuk membantu terutamanya bagi memberikan saingan dalam perlumbaan nanti.

"Kami akan mencari penetapan jentera yang lebih baik nanti, saya akan memberikan yang terbaik dalam perlumbaan kerana itu merupakan cabaran saya."