Semua atlet Sabah dinasihatkan untuk berlatih di sekitar kawasan kediaman masing-masing sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan yang bermula hari ini.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe, berkata orang ramai juga dinasihatkan supaya menghentikan segala aktiviti sukan di tempat awam.

"Langkah ini adalah bagi meminimumkan risiko pendedahan kepada wabak Covid-19.

"Semua kemudahan sukan di bawah jagaan Lembaga Sukan Sabah juga ditutup bermula hari ini sehingga 31 Mac 2020," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Phoong, orang ramai diingatkan agar sentiasa berwaspada dan mengamalkan jarak sosial sekurang-kurangnya 1 meter dari orang lain.

"Duduk di rumah, jangan keluar jika tiada keperluan, langkah ini bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19," katanya.