Pentas Sukan SEA adalah medan wajib buat skuad bola sepak negara membawa pulang pingat emas ketika Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah melaungkan keazaman membutirkan ibu pingat emas sejak dari awal tahun lagi, namun ia tidak berlaku, sekali lagi di Flipina.

Di mana silapnya? Skuad itu dibentuk kesan daripada kecemerlangan skuad senior yang mempamer aksi positif dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 selain kombinasi tiga pemain muda yang menjadi tulang belakang kejayaan skuad B-19 negara yang layak ke pentas Kejohanan AFC B-19 2020.

Amat memalukan apabila saingan di pentas Asia Tenggara menyaksikan skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu tempang dan cabaran mereka terhenti di peringkat kumpulan.

Ia kegagalan yang sukar untuk diterima, bermula dengan kekalahan kepada Filipina dan Kemboja, umpama petanda ada sesuatu yang tidak kena dengan skuad itu.

"Bukan salah formasi kerana telah banyak strategi telah diterapkan sebelum ini tetapi jika pemain-pemain tidak dapat bermain seperti apa yang telah diaturkan, keputusan tidak akan menyebelahi Malaysia," kata Kim Swee.

Maka beberapa isu mula dikaitkan, bermula daripada segi penerapan formasi dan susunan pemain yang dipilih dalam edisi kali ini.

"Semua pemain memiliki kualiti yang tersendiri dan pasukan tidak seharusnya bergantung kepada satu atau dua pemain untuk mencipta kemenangan dalam perlawanan," kata kapten negara, Adam Nor Azlin.

Rentetan daripada kegagalan memenuhi sasaran Indeks Prestasi Utama (KPI), FAM sendiri mengesahkan kontrak pengendali itu tidak akan disambung sebaik ia tamat pada penghujung tahun ini.