Skuad bola jaring negara semakin menghampiri pingat emas Sukan SEA selepas mara ke final dengan menewaskan Brunei 70-28 dalam separuh akhir di Stadium Juara, Bukit Kiara, sebentar tadi.

Menepati ramalan ramai, skuad negara yang diketuai Nur Syafazliyana Mohd Ali tidak berdepan sebarang masalah untuk memenangi suku pertama 25-4 sebelum menamatkan suku kedua 39-12.

Skuad bimbingan Tracey Robinson itu kemudian mengekalkan jurang kepada 53-21 pada suku ketiga dan menamatkan perlawanan dengan kemenangan 70-28.

"Mereka memberi cabaran kepada kami. Kami tidak menurunkan barisan utama sehingga mengganggu rentak kami. Justeru, saya perlu memastikan ia diperbaiki menjelang aksi esok.

"Konsistensi adalah kunci, terutama selepas mengharungi aksi sepanjang minggu ini, apabila fizikal pemain mula mengalami keletihan dan Brunei benar-benar memberi saingan kepada kami.

"Saya tidak fikir kami berasa tertekan menjelang penentuan dalam final esok. Kami perlu melaksanakan strategi yang telah diaturkan," kata Robinson.

Malaysia menurunkan Norashikin Kamal Zaman, An Najwa Azizan, Noramirah Dayana Noor Azhar, Siti Nor Farhana Mustafa, Nur Fariha Abdul Razak dan Pow Mei Fong selaku tujuh pemain utama.

"Balingan Brunei sangat bagus pada hari ini. Kami melakukan beberapa kesilapan awal, namun segera memperbaikinya.

"Menjelang aksi esok, apa yang saya nampak pada Singapura mempunyai pemain pertahanan yang tinggi dan penjaring yang bagus," kata Norashikin.

Malaysia mara ke final buat kali kedua selepas tewas kepada Singapura di peringkat akhir ketika republik itu menjadi tuan rumah dua tahun lalu.

Dalam peringkat round robin sebelum ini, Malaysia menewaskan Thailand 73-30, Brunei 27-64, Singapura 50-37, Filipina 96-11.

Menanti Malaysia dalam final esok ialah Singapura, yang menundukkan Thailand 55-43 dalam satu lagi aksi separuh akhir hari ini.