Keretakan pinggang merupakan halangan utama Mohamed Hariff Salleh ketika meraih emas dalam acara kriterium Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, hari ini.

Hariff mengalami kemalangan sebelum menghadapi cabaran Sukan SEA dan telah dinasihatkan supaya menarik diri.

Namun, pelumba kelahiran Terengganu itu berkeras untuk meneruskan perlumbaan sehingga membawa pulangan besar apabila berjaya membantu negara mempertahankan pingat emas acara kriterium yang melibatkan jarak sejauh 45km di sekitar Dataran Putrajaya.

"Pada mulanya, saya bimbang juga dengan keadaan saya, mereka (Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia) juga tidak berapa berani untuk melepaskan saya berlumba," kata Hariff.

"Tetapi, semangat saya ialah untuk melakukan kayuhan terbaik dan beraksi di laman sendiri. Sakit itu memang ada lagi tetapi saya cuba untuk menghadiahkan sesuatu di Malaysia."

Pemenang pingat perak acara kriterium wanita, Jupha Somnet, yang baru sahaja menamatkan kursus latihan polis, berazam untuk memperbaiki pencapaiannya pada masa akan datang.

"Latihan saya tidak mencukupi dan hanya sempat membuat persiapan selama tiga bulan. Itupun terkejar-kejar untuk mengadakan latihan," kata Jupha.

"Berikan saya tempoh selama dua tahun lagi, selepas ini saya mampu menghadiahkan emas dalam acara trek dan lebuh raya.

"Setakat ini, saya tidak memiliki masa yang secukupnya dan banyak menumpukan kepada acara trek berbanding lebuh raya."