Bekas Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi telah meninggal dunia pada Sabtu lepas pada usia 83 tahun.

Menurut pengumuman yang dikongsikan adik-beradik mendiang hari ini, upacara memberi penghormatan terakhir akan diadakan selama dua hari mulai esok di Nirvana Centre Kuala Lumpur.

Pengumuman itu menyebut upacara pengebumian akan berlangsung pada 10 pagi Jumaat ini dan jasad mendiang akan diarak ke Nirvana Crematorium Shah Alam untuk upacara pembakaran mayat.

Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menyifatkan pemergian Kok Chi sebagai satu kehilangan besaar kepada dunia sukan tanah air dan pergerakan Olimpik di Malaysia.

“Kami berdukacita dengan berita pemergian bekas Setiausaha Agung MOM Datuk Sieh Kok Chi. Bagi pihak MOM, kami ingin menzahirkan ucapan setinggi-tinggi takziah kepada ahli keluarga mendiang. Semoga roh mendiang bersemadi dengan tenang,” menurutnya dalam satu kenyataan.

“Kok Chi meninggalkan legasi yang luar biasa seperti penubuhan struktur pentadbiran MOM, makan malam tahunan MOM dan malam anugerah, Anugerah Olympian of the Year, Dewan Kemasyhuran MOM dan Program Pemasaran dan Penajaan MOM.

“Mendiang juga memainkan peranan dalam Dana Pendidikan Atlet Tan Sri Alex Lee, Dana Amanah MOM, dana kategori B, dasar pembayaran balik untuk penyertaan dalam permainan pelbagai sukan serta banyak lagi,” katanya.