Ratu pecut Sukan Malaysia (Sukma) 2018, Azreen Nabila Alias, berdepan tugas berat untuk mempertahankan tiga pingat emas serta memperbaiki rekod kejohanan miliknya yang dilakar di Perak dua tahun lalu.

Berbeza dengan suasana pada 2018 di Perak, dia bakal bertandang ke Sukma Johor, Julai ini dengan status penyandang emas bagi tiga acara pecut.

Lebih menambah tekanan, jurulatihnya, M. Balamurugan, meletakkan sasaran tinggi mempertahankan ketiga-tiga emas itu, masing-masing bagi acara 100 meter, 200m dan 4x100m.

Selain itu, dia turut dituntut untuk memperbaharui rekod kejohanan acara 100m, 11.81 saat, yang dilakarnya dua tahun lalu.

"Tahun ini saya akan pastikan dia bebas daripada kecederaan. Pada 2018, dia lakar masa 11.81s yang menjadi rekod Sukma, jadi saya harap dia dapat pecahkannya tahun ini selain memastikan dia mengekalkan pingat yang diraih dua tahun lalu," kata Balamurugan.

Namun, ia bakal menjadi tugas sukar untuk dilaksanakan memandangkan prestasi semasa Azreen masih tidak konsisten, terutama sejak dia pulih daripada kecederaan paha.

Dalam Sukan SEA Filipina bulan lalu, dia yang beraksi dalam 4x100m campuran membantu kuartet negara meraih gangsa.

"Untuk Sukma tahun ini, pasti akan ada ramai atlet berbakat yang baru. Jadi, kami kena fokus dan tidak mengambil ringan. Tiada sebarang jaminan. Saya akan pastikan dia kekalkan prestasi dan capai sasaran," tambah jurulatih itu.



Editor: Nafis Abdullah