Pelari pecut remaja negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, bertekad kekal bersama jurulatih, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah, di sebalik perpindahan Mohd Poad Kassim ke sekolah sukan di Ipoh, Perak.

Poad terkenal dengan sentuhan emas selepas berjaya melahirkan dua juara Sukan SEA selain pemegang rekod kebangsaan.

Poad akan melaporkan diri di Sekolah Sukan Gunung Rapat, 4 Oktober depan, yang turut akan disertai jaguh kebangsaan, Mohd Haiqal Hanafi dan Khairul Hafiz Jantan.

Kehadiran mereka bakal menjadi pembakar semangat buat pelari muda seperti Azeem, tetapi juara remaja Asia Tenggara 2019 itu mahu terus kekal bersama jurulatihnya.

"Saya masih selesa dengan jurulatih sekarang.

"Walaupun dia dinaikkan pangkat, kami sudah menetapkan masa yang sebaiknya (untuk tujuan latihan) berdasarkan jadual kami, ia tidak akan menjadi penghalang buat kami.





"Program latihan kami sudah berjalan setahun lebih. Saya pernah berjumpa dengan ramai jurulatih tetapi memang sudah untuk selesa mendapat khidmatnya.

"Dia salah seorang jurulatih yang sangat berbeza kerana memahami saya dan tahu gaya hidup saya.

"Saya sudah berlatih dengannya lebih dari lima tahun jadi dia tahu tingkah laku sebenar saya, memahami daripada segi pelajaran dan latihan.

"Ini termasuklah apa yang saya mahukan dan perlukan dalam karier lumba lari," kata pemenang empat pingat emas Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia 2019 itu.