Atlet pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi idam peluang beraksi di pentas Kejohanan Dunia serta Temasya Sukan Olimpik satu hari nanti.

Ia bukan impian kosong, apabila Azeem terus menunjukkan peningkatan yang positif di sebalik cabaran menyesuaikan diri dengan kehidupan baru dan cuaca yang berbeza di Amerika Syarikat.

Dalam Kejohanan Texas Tech Invite and Multis Jumaat lalu, Azeem juga mengatasi rekod kebangsaan acara 60 meter dalam dewan milik Watson Nyambek iaitu 6.66 saat.

Catatan baru 6.63 saat itu meletakkan dirinya dalam kelompok lima pelari terpantas bawah 20 tahun dunia.

"Saya baru sahaja menjalani latihan selama tiga minggu. Saya mahu menggunakan masa sebaik mungkin dan tekad berusaha mendapatkan keputusan yang baik sekaligus melayakkan diri ke Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik."