Nama dan pengaruh Azlan Shah Kamaruzaman dalam sukan permotoran dua roda sememangnya tiada tandingan berikutan pelbagai kejayaan yang dilakar pelumba berusia 39 tahun itu.

Sensasi Azlan Shah menjuarai Perlumbaan 1 dalam kempen pembukaan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand, dalam kategori ASB1000, kelmarin, sekali gus membuka jalan cerita menarik untuk dikongsikan.

Azlan Shah dan TKKR Racing Team berdepan masalah kewangan apabila hampir menarik diri daripada saingan ini, namun notis pada saat akhir memberi mereka lampu hijau untuk bertanding bagaikan talian hayat yang diperlukan.

"Saya profesional, saya tidak mahu ulas banyak. Biarlah pasukan yang selesaikan perkara ini.

"Dalam masa sama, saya berusaha mencari penaja untuk pasukan dan saya," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.

Pada ketika dirinya melalui fasa sukar, Azlan Shah menggunakan pengalaman luasnya beraksi dalam dunia permotoran serta kisah romansa di litar kegemarannya itu menjadi pemangkin kejayaan mengukir sejarah peribadi tersendiri.

"Sehari sebelum ke Thailand, saya pun baru tahu perlu berlumba.



"Itu pun sepusingan sahaja di Buriram. Pasukan juga sedang berusaha untuk meneruskan perlumbaan tahun ini.

"Rezeki dekat mana-mana pun. Litar Antarabangsa Buriram sememangnya banyak kenangan kepada saya. Saya dua kali pernah muncul juara di sini," katanya lagi.