Penunggang TKKR Racing Team, Azlan Shah Kamaruzaman, menyasarkan kedudukan podium dalam pusingan kedua Kejuaraan Motosikal Asia di Litar Antarabangsa Zhuhai, China yang akan bermula 19 April esok.

Dia bersama pasukannya kini sedang melakukan persediaan rapi selain menambahbaik jenteranya memandangkan enjin barunya dari Jerman sedia untuk digunakan dalam perlumbaan kedua esok.

Sebelum ini dia dan pasukannya hanya berbekalkan sebuah enjin sahaja untuk bersaing dengan menggunakan jentera lama dalam perlumbaan pusingan pertama yang berlangsung di Litar Antarabangsa Buriram,Thailand.

"Sasaran peribadi saya semestinya menduduki podium memandangkan kami akan menerima enjin baru daripada Jerman esok jadi kami ingin mengumpul mata sebanyak yang mungkin.

"Litar Zhuhai adalah litar lama umpama Litar Pasir Gudang, kritikal untuk saya mengawal tayar jadi strategi pelumba amat penting.

"Litar ini tiada masalah bagi saya, jika tahun lepas cuaca perlumbaan dalam keadaan sangat panas tetapi pada bulan ini cuaca agak sejuk.

"Cuaca memainkan peranan penting dalam menjaga permukaan tayar dan tetapan jentera jadi kita akan lihat pada hari Jumaat nanti." katanya.