Muhammad Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad memecah rekod Sukan Komanwel dengan angkatan keseluruhan 261kg untuk merangkul emas kategori 56kg di Arena Sukan Carrara, Gold Coast, hari ini.

Azroy, yang menyambut ulang tahun kelahirannya semalam, melakukan angkatan 117kg menerusi snatch untuk memadam rekod 116kg yang dicipta Amirul Hamizan Ibrahim dalam temasya di New Delhi 2010.

Momentum itu diteruskan Azroy dalam clean and jerk dengan melakukan angkatan terbaik 144kg.

Mengumpul 261kg keseluruhan, Azroy juga mengatasi rekod 16 tahun Komanwel milik Amirul (260kg) yang dilakukannya di Manchester pada 2002.

"Saya bersyukur kepada Allah kerana memberikan rezeki yang 10 tahun saya tunggu. Saya juga berjaya memecahkan rekod yang dicipta idola saya (Amirul), tempat lahirnya sama dengan saya.

"Sempena hari jadi saya semalam, saya hadiahkan pingat emas ini kepada emak, ayah dan adik-adik saya, keluarga, rakyat Malaysia dan rakyat Rompin, Pahang," katanya.

Atlet berusia 24 tahun dari Pahang itu menewaskan pencabar terdekat dari India, Gururajaya, yang melakukan angkatan keseluruhan seberat 249kg untuk perak.

Sementara itu, pingat gangsa menjadi milik Chaturanga Lakmal (248kg) dari Sri Lanka.

Chef-de-mission (CDM) kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel, Huang Ying How, mengulas: "Tahniah kepada Azroy, jurulatih dan pengurus pasukannya.

"Ini adalah satu permulaan yang bagus bagi Malaysia kerana kami sudah jangka dia adalah pilihan pertama acara ini.

"Selain itu, dia juga memecahkan rekod Sukan Komanwel. Saya rasa ini adalah satu berita yang baik untuk kontinjen Malaysia," tambahnya.