Menjelang Kejohanan Olahraga Terbuka Johor, yang akan bermula pada 19 April hingga 21 April ini, atlet lompat jauh negara, Andre Anura Anuar, membuat keputusan untuk tidak pulang beraya di kampung halaman bagi mempersiapkan diri menghadapi kejohanan itu.

Atlet yang berasal dari Tenom, Sabah itu membawa misi tersendiri dengan berusaha untuk memecahkan rekod peribadi iaitu 7.55 meter yang sebelum ini dicatatkan di Kejohanan Terbuka Perak, bulan lalu.

"Saya perlu mengorbankan masa menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga demi melakukan persiapan dengan mengadakan latihan demi mencapai objektif dan sasaran.

"Dalam kejohanan kali ini, saya ingin menumpukan sepenuh perhatian dalam acara lompat jauh bagi memecahkan rekod yang saya lakukan di Perak," katanya.

Sementara itu, seorang lagi atlet lompat jauh negara, Nurul Ashikin Abas pula, menjadikan Kejohanan Terbuka Johor sebagai penanda aras bagi melihat tahap kemampuannya bersaing di Sukan Universiti Asean (AUG), yang akan berlangsung pada 25 Jun nanti.

"Saya akan bermain dalam dua acara di mana saya berhasrat untuk mendapatkan pencapaian terbaik.

"Saya juga memasang impian untuk menggondol emas pertama dalam sukan AUG dalam acara lompat jauh dan lompat kijang," kata Nurul Ashikin Abas.