Penerjun negara, Ahmad Amsyar Azman, adalah antara dua nama yang terpilih menyertai dua saingan Kejohanan Terjun Grand Prix FINA sebagai pemanas badan menjelang Sukan Asia Indonesia, Ogos depan ketika penerjun lain diarahkan fokus terhadap latihan di tanah air.

Pemangku ketua jurulatih negara, Zhang Yukun, memilih dua penerjun lelaki menyertai siri ketiga di Bolzano, Itali dan siri keempat di Madrid, Sepanyol bulan depan.

Chew Yiwei akan mengiringi Amsyar menyertai kedua-dua kejohanan itu dalam acara 3 meter individu papan anjal sebagai persiapan terakhir sebelum menghadapi Sukan Asia Indonesia.

Amsyar dan Yiwei masih belum meraih sebarang pingat dalam saingan tahun ini berbanding seorang lagi penerjun lelaki, Ooi Tze Liang, yang mara ke final siri pertama di Jerman, Februari lalu.

"Ini merupakan cabaran buat saya kerana hanya sempat menjalani persiapan selama dua minggu susulan cuti hari raya selain baru kembali mengharungi Kejohanan Piala Dunia Terjun FINA.

"Saya berasa bertuah kerana mendapat kejohanan pemanas badan menjelang Sukan Asia Jakarta-Palembang, Ogos nanti.

"Persiapan kali ini sangat singkat," kata Amsyar.