Atlet triatlon negara, Amran Abdul Ghani, mahu penyertaan kali ketiganya dalam saingan Ironman Langkawi tahun ini berakhir dengan kejayaan agar dia dapat melayakkan diri ke Kejohanan Dunia Ironman di Konaa, Hawaii, pada Oktober 2017.

Amran merupakan peserta terbaik Malaysia ketika Ironman Langkawi 2014 dengan menamatkan saingan di tempat ke-19 keseluruhan.

Namun, masalah teknikal ketika perlumbaan pada tahun lalu menyebabkan dia berputih mata apabila gagal menamatkan saingan.

Tahun ini, dia kembali berbekalkan semangat baru dan giat menjalani latihan intensif sejak Ogos lalu.

"Tahun lepas, saya menghadapi masalah teknikal dan kesihatan juga tidak berada pada tahap terbaik.

"Namun pada kali ini, saya sudah membuat persiapan awal supaya kejadian lalu tidak berulang lagi," terang Amran yang berkhidmat sebagai ahli bomba.

Di pihak penganjur pula, mereka sudah bersedia untuk menerima seramai 1,100 peserta dari 63 negara bagi saingan yang bakal berlangsung esok.

Ironman Langkawi 2016 menjanjikan cabaran berenang sejauh 3.8 kilometer (km), kemudiannya berbasikal sejauh 180km dan di akhiri dengan larian sejauh 42km.

Pengarah Urusan Ironman Asia, Geoff Meyer, melihat ada peningkatan penyertaan dalam kalangan peserta tempatan.

Bermula dengan lima peratus sahaja pada awal penganjuran, kini pertandingan itu meningkat sehingga 26 peratus, sekaligus menunjukkan Ironman Langkawi sudah menjadi acara sukan yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Hanya peserta tempatan yang terlibat pada awal penganjuran, kini kami mempunyai seramai 34 peserta tempatan.

"Justeru, dalam tempoh tiga tahun penganjuran Ironman Langkawi, kami amat berbangga dengan pencapaian dan perkembangan sukan ini selain kehadiran ramai atlet ke Langkawi," ujar Meyer.