Aifa Azman mengejutkan pilihan pertama kejohanan untuk bergelar juara Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia, hari ini, sekalipun turun melalui tiket peluang khas.

Kejayaannya di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil itu memastikan gelaran juara kekal milik Malaysia buat kali keempat berturut-turut bagi saingan wanita.

Dia menundukkan bukan calang-calang pemain apabila mengetepikan cabaran pilihan pertama dari Mesir, Salma Hany Ibrahim Ahmed.

Walaupun kedua-duanya belum pernah berentap sebelum ini tetapi berdasarkan ranking dunia, Hany lebih menyerlah status pemain kelapan terbaik dunia.

Namun, permata dari Kedah itu sedikit pun tidak menunjukkan rasa gementar untuk mencipta gemilang dalam penampilan final pertamanya dalam kejohanan ini.

Hany tidak diberikan ruang mudah dan Aifa menyentak semangat lawannya dengan menawan set pertama yang berlangsung sengit dengan kemenangan 12-10.

Pencabarnya semakin kerap membantah beberapa gerakan pemain negara itu tapi ia tidak menghalang Aifa untuk mengungguli set kedua 11-8..

Malah, Hany bagaikan lemas dengan tenaga luar biasa Aifa untuk akur kunjungannya ke Kuala Lumpur sekadar berakhir selaku naib juara apabila tewas 4-11 dalam set ketiga, lantas Aifa diangkat sebagai pemain wanita kelima negara yang menjuarai Terbuka Malaysia.

"Saya sangat gembira memenangi gelaran terbesar saya ini, apatah lagi berada di tangga ke-69 dunia.

"Persembahan saya pada minggu ini cemerlang sementara Salma juga berakhir hebat sepanjang kejohanan ini.

"Sudah tentu saya berasa gembira memandangkan saya menyertai kejohanan ini menerusi tiket peluang khas.

"Selepas setahun tidak dapat menyertai mana-mana kejohanan gara-gara pandemik (COVID-19), oleh itu saya sangat gembira.

"Sesuatu yang berbeza untuk berdepan pemain di ranking lebih tinggi, jadi ia sesuatu yang berbeza berbanding di peringkat remaja jadi saya sangat gembira untuk menimba pengalaman seperti ini," kata pemain 20 tahun itu.