Pemain perseorangan utama negara, Lee Zii Jia terpaksa menelan pahit susulan gagal layak ke Jelajah Dunia Akhir BWF 2022.

Ia susulan kekalahan mengejut di tangan Lu Guangzu dari China dalam saingan Terbuka Australia, yang menjadi penghalang utamanya untuk slot layak ke kejohanan terakhir musim 2022 di Thailand.

Set pertama menyaksikan penampilan sengit apabila Zii Jia berjaya bangkit daripada mengekori Guangzu untuk menang 22-20.

Kepenatan mungkin menjadi faktor Zii Jia ketinggalan di set kedua, sehingga tewas 21-15.

Dalam pertemuan ketiga antara kedua dua atlet ini, di mana kemenangan memihak kepada Zii Jia yang sudah menang dalam dua saingan sebelum ini termasuk di Kejohanan Seluruh England 2020, tuah tidak menyebelahi wakil negara apabila gagal menguasai permainan, sekaligus akur tewas 21-16.

Dalam kategori perseorangan wanita pula, Goh Jin Wei tiada masalah mengetepikan pencabar dari India, Anwesha Gowda, untuk melangkah ke peringkat suku akhir.

Saingan pusingan kedua menyaksikan Jin Wei mendahului set pertama 11-3 dengan penguasaan gelanggang, sebelum meraih mata pertama 21-7.

Skrip yang sama berulang di set kedua apabila Jin Wei mengekalkan momentumnya daripada set pertama ke atas lawannya yang hanya berusia 14 tahun itu.

Dan meskipun jurang mata yang lebih rapat antara kedua dua pencabar ini, Jin Wei masih sempat menamatkan perjalanan Gowda dalam masa 22 minit, dengan keputusan 21-13 untuk mara ke suku akhir Terbuka Australia.