Menyendiri dan di ambang kemurungan adalah kisah benar di sebalik kebangkitan luar biasa perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, sebelum bergelar juara Kejohanan Badminton Seluruh England minggu lalu.

Menerusi bicara bersama wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani, pemain berusia 22 tahun itu meluahkan apa yang terbuku di hatinya dalam memahat sejarah bergelar jaguh di atas namanya sendiri.

Zii Jia menerima kritikan hebat berikutan prestasi hambarnya dalam dua kejohanan Terbuka Thailand awal tahun ini tetapi dia mempamerkan kebangkitan menakjubkan untuk menewaskan pemain nombor satu dunia dari Jepun, Kento Momota, dan pemain nombor dua dunia dari Denmark, Viktor Axelsen, untuk bergelar juara di Birmingham.

Dia berkata: "Apabila saya mula memungut banyak mata (dalam set ketiga), saya agak terkejut kerana dia (Axelsen) tiba-tiba macam sudah mengaku kalah sebab selama ini perwatakannya selalu mahu bersaing dan tidak mahu mengaku kalah.

"Saya tidak pernah nampaknya seperti itu selama ini, jadi saya agak terkejut juga sedangkan saya masih dalam keadaan mahu bersaing dan meneruskan fokus.

"Sewaktu itu (selepas bergelar juara) saya berasa bangga. Walaupun tiada penonton, saya masih berbangga untuk membawa bendera Malaysia sehingga ke podium Seluruh England.

"Sewaktu di Thailand, keadaannya amat berbeza, banyak masalah dan seperti semua orang mahu mencari pasal.

"Saya tidak faham mengapa mereka tidak boleh memberikan kami masa untuk bertenang dan berlatih untuk kami bangkit dalam kejohanan berikutnya.

"Saya tidak faham, saya hilang semangat dan menjadi antisosial.

"Setiap hari saya menyendiri kerana sewaktu itu memang saya rasa bersalah.

"Hanya satu perkara saya mahu beritahu semua orang, bukan semua pemain seperti Momota, bukan semua pemain seperti Kevin (Sanjaya Sukamuljo) dan Marcus (Fernaldi Gideon) yang akan sentiasa bergelar juara kerana perjalanan setiap orang amat berbeza.

"Ada yang tidak berlatih dengan bersungguh-sungguh tetapi boleh menjadi juara dan ada yang berlatih bermati-matian dari pagi sehingga ke malam tetapi terkandas dalam pusingan pertama.

"Setiap orang ada perjalanan berbeza," katanya.

Zii Jia kerap digambarkan sebagai penerus legasi legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Mengulas mengenai perkara itu, dia berkata: "Mahu tidak mahu, nama Datuk Lee Chong Wei pasti akan menghantui saya sepanjang karier.

"Misi saya adalah sebelum saya bersara nanti, saya mahu dikenang sebagai Lee Zii Jia dan bukannya sebagai pengganti kepada Lee Chong Wei.

"Itu adalah satu misi buat saya," katanya.