Jaguh badminton negara, Lee Zii Jia, menghela nafas lega sebaik sah bergelar juara Kejohanan Badminton Seluruh England selepas menewaskan pemain nombor dua dunia, Viktor Axelsen, di Birmingham semalam.

Selepas dikritik hebat berikutan prestasi buruknya dalam beberapa kejohanan sejak awal tahun ini, anak jati Kedah itu menjawab kritikan berkenaan dengan aksi jitu untuk membawa kejuaraan itu, yang kali terakhir dilakukan oleh Datuk Lee Chong Wei pada 2017.

Perlawanan berlangsung sengit dengan Zii Jia memenangi set pertama menerusi mata 'sudden-death' 30-29.

Aksi kian menarik dipamerkan kedua-dua jaguh perseorangan itu tetapi tuah lebih memihak Axelsen untuk memenangi set kedua 22-20.

Namun, wakil negara yang menduduki tangga ke-10 ranking dunia itu ternyata lebih fokus untuk memanfaatkan segenap ruang sebelum bergelar juara dengan kemenangan selesa 21-9 dalam set penentuan.

Zii Jia, dalam satu temu bual selepas perlawanan, menjelaskan betapa dia berusaha keras dan berasa lega selepas memenangi gelaran itu.

"Jurulatih tidak dapat membantu anda sepenuhnya, hanya 20 peratus.

"Selebihnya adalah daripada diri anda sendiri. Anda perlu berlatih dan berlawan dengan diri sendiri.

"Kedua-dua kami bermain dengan amat baik hari ini tetapi dalam babak ketiga, Axelsen kelihatan sedikit hilang fokus.

"Pada momen itu saya mendapatkan kelebihan.

"Sejak set pertama, kami bersaing sehingga ke mata 30-29. Ia amat sukar.

"Apabila masuk dalam set kedua, kami perlu fokus kepada setiap mata.

"Kami tidak boleh kehilangan fokus walau untuk seketika. Apabila kami hilang fokus, lawan akan memanfaatkannya.

"Itulah yang saya katakan kepada diri saya, untuk fokus kepada setiap mata.

"Saya fikir ia perasaan yang bercampur-baur, gembira, sedih, teruja, segala-galanya datang pada satu masa.

"Jadi saya sukar untuk menggambarkannya, sudah pasti saya gembira mengenainya," katanya.