Kemelut di antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Lee Zii Jia menemui titik noktah selepas badan induk itu merestui keputusan perseorangan utama negara berkenaan untuk bergerak secara profesional.

Hal ini turut memberi petanda positif buat kem badminton negara dalam menghadapi cabaran Kejohanan Berpasukan Asia, 15 Februari depan, apabila pemain kelahiran Kedah itu bakal memperkuatkan pasukan.

Bagaimanapun, keputusan penuh hasil perbincangan itu akan dirungkaikan pada satu tarikh yang akan datang.

"Kedua-dua pihak sudah mencapai satu kesudahan yang akan diumumkan minggu depan.

"Sudah pastinya Lee Zii Jia gembira dan BAM menerimanya, ia adalah untuk kebaikan negara," kata Pengerusi Jawatankuasa Disiplin BAM, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Sebelum ini, BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia dalam kejohanan antarabangsa susulan tindakannya mahu meninggalkan kem kebangsaan dan kini pemain berusia 23 tahun itu meluahkan rasa lega selepas menemui jalan penyelesaian bersama badan induk tersebut.

"Hari ini (kehadiran saya) adalah untuk mengemas kini surat (peletakan) jawatan saya.

"Kami mencapai penyelesaian yang sangat positif dan saya rasa BAM akan umumkan minggu depan.

"Setakat ini saya tidak akan buat sebarang penjelasan (tinggalkan BAM).

"Saya akan adakan satu sidang media.

"Kami adalah pemain profesional, apa pun kami tetap di bawah BAM dan (berjuang) demi Malaysia," kata Zii Jia pula.




Sementara itu, Jahaberdeen turut menjelaskan status bekas perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, masih tergantung memandangkan BAM masih menunggu rayuan daripadanya.

"Hari ini kami bincangkan tentang Lee Zii Jia sahaja sebab kami belum terima surat daripadanya," katanya lagi.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, yang mengadakan pertemuan tertutup bersama pemain di ranking ketujuh dunia itu dan Goh Jin Wei, semalam, lega apabila kemelut badminton negara itu sudah menemui jalan penyelesaian.

Apatah lagi kelibat mereka masih diperlukan oleh skuad negara memandangkan Malaysia bakal mengharungi beberapa saingan penting pada tahun ini dengan tumpuan terarah kepada kelayakan Piala Thomas, Sukan Asia Hangzhou dan juga Sukan Komanwel Birmingham.

"Saya telah mendapatkan laporan yang agak jelas, saya juga telah bercakap dengan (Presiden BAM), Tan Sri Norza Zakaria.

"Saya nampak kedua-dua pihak komited untuk meletakkan kepentingan negara sebagai perkara utama.

"(Situasi) Zii Jia dan Jin Wei adalah perkara yang berlainan.

"Kami dengar dan saya percaya BAM juga mendengar tentang perkara yang akan dibawa," kata Faizal.