Perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia, dilaporkan mengadakan pertemuan empat mata dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini.

Ia merupakan perbincangan pertama pemain itu dengan badan induk berkenaan bagi tahun ini dan dipercayai berkaitan dengan spekulasi bahawa juara Kejohanan Badminton Seluruh England 2021 itu mahu bergerak secara profesional.

Jika benar, ia sudah pasti akan memberikan tamparan buat BAM, yang baru sahaja merombak barisan kejurulatihannya.

Perjumpaan Zii Jia dengan BAM disahkan presiden badan induk itu, Tan Sri Dr. Norza Zakaria, dan berdasarkan tinjauan wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkfly, kedua-dua pihak berkenaan mengambil pendekatan mengunci mulut mengenai perkara itu.

Norza ketika ditemu bual berkata peretmuan itu hanyalah untuk memperincikan program Zii Jia bagi musim 2022, termasuk misi mempertahan gelaran Seluruh England.

"Buat masa ini, apa pun perkara yang dibincangkan, semuanya masih di peringkat awalan.

"Tentu sahaja ada perkara-perkara yang perlu dibincangkan di antara pihak kejurulatihan, pengerusi C&T (jawatankuasa kejurulatihan dan latihan) dan pemain.

"Ia merupakan perkara biasa," katanya.